Blogger Templates

Wednesday, 7 December 2011

PANTUN TEKA-TEKI (1)

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan , adakalanya murid hilang tumpuan pada pengajaran guru.Pantun teki-teki ini boleh digunakan sebagai selingan untuk menarik semula perhatian murid terhadap pelajaran.


1. Kalau tuan pergi ke kedai
    Belikan saya buah keranji
    Kalau tuan bijak pandai
    Apa binatang keris di kaki?

2. Ada sebiji roda pedati
   Bentuknya bulat daripada besi
   Bila bermain diikat sekuat hati
   Dilempar hidup dipegang mati?

3. Buah budi bidara mengkal
   Masak sebiji di tepi pantai
   Hilang budi bicara akal
   Buah apa tidak bertangkai?

4. Burung nuri burung dara
   Terbang ke sisi taman kayangan
   Cubalah teka wahai saudara
   Semakin diisi makin ringan?

5.Bunga orkid indah warnanya
   Penyeri taman dan juga hutan
   Ramai orang datang bertanya
   Bintang apa hidup di lautan?

6. Pak Pung Pak Mustafa
   Encik Dollah dirumahnya
   Ada tepung ada kelapa
   Gula Melaka jadi intinya

7. Kelip-kelip kusangka api
   Kalau api mana asapnya?
   Hilang ghaib disangkakan mati
   Kalau mati mana kuburnya?

8. Budak-budak bermain batu
   Batu dikira satu persatu
   Badannya lurus bermata satu
   Ekornya tajam apakah itu?

9. Jika tuan membeli tikar
   Tikar anyaman dari mengkuang
   Kalau Tuan bijak pintar
   Ular apa membelit pinggang?

10. Masak tumis sambal petai
     Makan kenyang sambil sendawa
    Anda menziarah sahabat handai
    Buah apakah yang akan dibawa?

11. Pokoknya bulat dan juga rendang
    Masam dan hijau ketika muda
    Buahnya berbentuk seperti bintang
    Sudah masak, kuninglah ia

12. Belayar perahu dari Bentan
     Menyusur tepi Selat Melaka
     Lebar kepala dari badan
    Apakah ikan cubalah teka?

13. Mak Minah menanak minyak
     Kemenyan dibakar dengan setanggi
     Dua peha beranak banyak
     Untuk mendaki tempat yang tinggi?

14. Orang bekerja diberikan upah
     Hidangan disaji dalam talam
     Gajah putih ditengah rumah
     Layar terkembang di waktu malam?

15. Gigi berduri tatah bersigai
     Pembelah kayu ia berguna
     Jika tuan orang yang pandai
     Benda apakah makannya dua cara?

16. Jika ke kedai pergi berbelanja
     Belikan saya sudu dan senduk
     Jika pandai katakan ia
     Semakin berisi semakin menunduk?

17. Kalau tuan pakai lencana
     Pakailah songkok di atas kepala
     Kalau Tuan bijak laksana
     Binatang apakah tiada kepala?

18. Pisau lipat dimainnya kera
     Tangannya luka lalu terjun
     Makan kuat tidak terkira
     Kenyangnya tidak tahi bertimbun?

19. Minah ketawa terjerit-jerit
     Melihat koyak pada seluar
     Orang putih duduk sederet
     Pagar didalam tebing diluar?

20. Tuan puteri belajar menari
     Tari diajar oleh Pak Harun
     Kalau Tuan bijak bestari
    Apa yang naik tak pernah turun?

Senarai Jawapan

Jawapan 1 : Ayam
Jawapan 2 : Gasing
Jawapan 3 : Buah Melaka
Jawapan 4 : Belon
Jawapan 5 : Tapak Sulaiman
Jawapan 6 : Buah Melaka
Jawapan 7 : Kilat
Jawapan 8 : Jarum
Jawapan 9 : Tali Pinggang
Jawapan 10: Buah Tangan
Jawapan 11: Belimbing
Jawapan 12: Ikan Pari
Jawapan 13: Tangga
Jawapan 14; Kelambu
Jawapan 15: Gergaji
Jawapan 16: Padi
Jawapan 17: Ketam
Jawapan 18: Api
Jawapan 19: Gigi
Jawapan 20: Umur

0 comments: